Refleksi

Pertama sekali saya ingin mengucapkan syukur kepada Allah kerana diberikan peluang dan kesempatan yang mencukupi untuk menyiapkan laman sesawang bagi kursus BMM2064. Ucapan ribuan terima kasih juga saya tujukan kepada pensyarah pembimbing BMM2064 iaitu Encik Abdul Latib bin Abdul Rahman dan Encik Nor Azam bin Ariffin yang tidak serik-serik membantu, membimbing dan menegur saya sepanjang saya menyiapkan laman sesawang ini. Tidak lupa juga rakan-rakan sekelas saya yang sudi untuk berkongsi idea dan buah fikiran yang sangat-sangat membantu saya untuk menyiapkan laman sesawang ini. Jasa dan sumbangan anda semua sememangnya banyak membantu saya.

        Secara umumnya kursus BMM2064 adalah kursus yang mendedahkan kepada saya mengenai kegunaan dan fungsi teknologi komputer yang dapat membantu pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas. Seperti yang kita sedia maklum teknologi komputer merupakan satu teknologi yang sangat menarik untuk dipelajari dan dikuasai. Hal ini kerana, apabila kita menguasai teknologi komputer sepenuhnya kita akan dapat menghasilkan sesuatu bahan yang menarik dan berguna untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran kita khususnya dalam mata pelajaran bahasa Melayu.

        Oleh itu, bagi mengaplikasikan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di dalam bilik kuliah, saya telah diberikan tugasan untuk menghasilkan sebuah laman sesawang bagi menunjukkan sejauh manakah pemahaman dan kemahiran saya dalam teknologi komputer ini. Selain itu, saya juga dikehendaki untuk memasukkan bahan-bahan yang diperoleh daripada internet dan boleh digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

            Bagi merumuskan hasil pembelajaran saya dalam kursus BMM2064 ini, saya akan menceritakan serba sedikit pengalaman dan ilmu pengetahuan yang saya dapat sepanjang mengikuti kursus ini . Pada minggu pertama, arahan tugasan amali yang perlu saya laksanakan ialah mencari bahan-bahan yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu menggunakan enjin carian seperti Google, Yahoo dan sebagainya yang perlu disimpan dalam bentuk alamat internet. Melalui tugasan secara amali ini, banyak perkara yang saya pelajari antaranya ialah saya boleh menggunakan enjin carian dengan betul untuk mencari maklumat dan bahan yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Melalui Maklumat dan bahan yang diperoleh ini, saya yakin bahawa bahan tersebut boleh membantu saya semasa mengajar nanti sama ada sebagai bahan bantu mengajar (BBM) ataupun sebagai persediaan sebelum memulakan pengajaran. Untuk melaksanakan tugasan ini sememangnya memberikan tekanan emosi kepada  saya kerana saya perlu mencari banyak bahan yang berkaitan atau boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

Tekanan mula terasa apabila saya mula kehabisan idea untuk mencari maklumat atau bahan yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Bagi mengatasi hal ini, saya telah berkolaborasi dan meminta pandangan daripada rakan-rakan sekelas saya mengenai bahan-bahan yang perlu dicari dan sesuai untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Secara keseluruhannya, dalam minggu pertama ini banyak maklumat dan bahan yang saya peroleh untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Walaupun tertekan untuk mencari bahan dan maklumat, saya percaya semua ini akan membantu dan menyenangkan saya sewaktu mengajar bahasa Melayu kelak dan merupakan satu pengalaman baharu kepada saya.

        Pada hari yang seterusnya, arahan tugasan amali yang perlu saya laksanakan ialah mencari dan memilih bahan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu menggunakan enjin carian di internet seperti google, yahoo, youtube, dan sebagainya. Selain itu, saya perlu mengkategorikan bahan-bahan tersebut kepada kemahiran lisan, membaca dan menulis. Bagi setiap kemahiran tersebut, bahan-bahan berbentuk teks, grafik, audio, dan video mesti ada dan dikumpulkan dalam folder setiap kemahiran. Bagi melaksanakan tugasan amali ini, sesi kolaborasi telah diadakan bersama pensyarah pembimbing BMM2064 bagi mengenal pasti bahan-bahan yang sesuai untuk setiap kemahiran. 

        Hasil daripada kolaborasi ini ialah dalam kemahiran lisan tiga jenis bahan ini harus dicari iaitu bahan berbentuk grafik, audio dan video. Seperti yang kita sedia maklum, dalam kemahiran lisan aspek mendengar dan bertutur amat dititikberatkan. Justeru, bahan-bahan yang berbentuk grafik, audio dan video sebenarnya membantu dan akan menggalakkan murid-murid untuk mendengar dan bertutur. Dalam kemahiran membaca pula, bahan-bahan berbentuk teks dan video merupakan bahan yang paling sesuai untuk meningkatkan kemahiran membaca murid. Bagi kemahiran menulis pula, keempat-empat jenis bahan iaitu teks, grafik, audio dan video boleh digunakan dalam kemahiran menulis. 

        Dalam melaksanakan tugas ini, terdapat beberapa masalah yang menyebabkan pelaksanaan tugasan amali ini sedikit terjejas. Sistem wayarles yang lambat merupakan masalah utama dalam menyelesaikan masalah ini. Disebabkan masalah ini juga saya tidak dapat memuat turun bahan-bahan berbentuk audio dan video.  Pada minggu seterusnya, tugasan amali yang perlu saya laksanakan ialah mencari dan memuat turun bahan yang mengandungi Garis Panduan dan Etika Penggunaan Internet. Setelah itu, saya dikehendaki untuk memindahkan maklumat yang saya peroleh itu ke dalam bentuk brosur dan Power Point yang tidak melebihi daripada 15 slaid. Untuk melaksanakan tugasan amali ini, saya telah menggunakan enjin carian google bagi mencari maklumat yang berkaitan Garis Panduan dan Etika Penggunaan Internet.

          Melalui pelaksanaan tugasan amali ini, terdapat tiga ilmu atau kemahiran yang saya pelajari iaitu ilmu mengenai tatacara dan etika penggunaan internet, kemahiran menggunakan aplikasi Power point, dan kemahiran membuat brosur menggunakan aplikasi Microsoft Office Publisher 2007. Bagi saya, sebagai seorang pelajar dan bakal penjawat awam ilmu mengenai tatacara dan etika penggunaan internet harus diketahui supaya penyelewengan dan penyalahgunaan internet tidak berlaku. Di samping itu, tugasan ini juga dapat mengukuhkan kemahiran saya dalam menggunakan perisian Power Point dan membuat brosur menggunakan perisian Microsoft Office Publisher 2007. Justeru, tugasan amali ini sangat wajar dipelajari kerana selain memberikan kita kemahiran memindahkan maklumat ke dalam bentuk Power Point dan brosur kita juga dapat mengetahui tatacara dan etika penggunaan internet. 

            Melalui pelaksanaan tugasan ini, saya dapat mengumpul bahan-bahan yang berkaitan dengan ilmu sastera, tatabahasa dan sejarah. Saya yakin pencarian bahan ini akan membantu saya untuk menyediakan satu sesi pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan berkesan semasa menjalani latihan mengajar ataupun setelah menjadi guru sebenar kelak. Selain itu, tugasan amali yang perlu saya lakukan ialah menghasilkan satu tapak dan laman web pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Dalam melaksanakan tugasan ini, segala ilmu yang telah dipelajari pada hari pertama hingga akhir kursus akan diaplikasikan dan digunakan untuk menyiapkan tugasan yang seterusnya.

          Dalam menghasilkan pakej pembelajaran ini, langkah awal saya ialah menentukan tajuk, hasil pembelajaran, objektif pembelajaran dan menentukan aktiviti-aktiviti bagi setiap kemahiran bahasa. Setelah menyediakan draf-draf yang diperlukan saya mula membuat pakej pembelajaran menggunakan perisian Power Point. Tidak dapat saya nafikan di sini bahawa wujudnya banyak masalah semasa membina pakej pembelajaran ini. Salah satu masalah besar yang saya hadapi ialah sistem komputer saya yang lambat menyebabkan penghasilan pakej pembelajaran ini terhenti-henti dan menghalang saya untuk menyiapkannya mengikut jangka masa yang telah ditentukan. Selain itu, saya juga menghadapi kesukaran untuk menentukan video-video yang perlu dimasukkan ke dalam pakej pembelajaran ini. Bagi menyelesaikan masalah ini, saya telah berkolaborasi dengan rakan-rakan mengenai aspek keberkesanan sesebuah video itu dan impaknya kepada suatu sesi pengajaran dan pembelajaran.

            Melalui pembinaan laman sesawang ini, saya dapat mempelajari bagaimana untuk menguruskan sesebuah laman sesawang yang dapat memberikan manfaat kepada orang lain. Pada pendapat saya, laman sesawang yang ditadbir dengan baik bukan sahaja dapat menarik ramai pembaca tetapi juga dapat memberikan sesuatu input yang berguna kepada para pembaca. Oleh itu, untuk menghasilkan sebuah laman sesawang yang menarik dan penuh dengan ilmu pengetahuan dan nilai-nilai murni saya telah memastikan bahawa bahan-bahan yang dimuat naik ke dalam laman sesawang ini menepati cita rasa dan keperluan pembaca dan pelayar-pelayar internet. Selain itu, saya juga menekankan aspek penggunaan bahasa baku digunakan dengan betul dan terdapat juga penggunaan bahasa Inggeris tetapi telah saya condongkan hurufnya bagi memudahkan pemahaman pembaca. 

            Untuk menuai hasil yang baik, rintangan dan masalah yang mencabar harus dilalui terlebih dahulu. Begitu juga dengan penghasilan laman sesawang ini, pelbagai masalah dan rintangan yang harus ditempuhi. Antara masalah tersebut ialah sistem wayarles yang lambat merupakan masalah nombor satu di samping halangan untuk melayari laman sesawang yang saya kira mempunyai banyak bahan dan maklumat yang boleh digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran seperti www.youtube.com.  Walaupun wujudnya banyak masalah, itu bukanlah satu alasan bagi saya untuk tidak melakukan yang terbaik dalam membina laman sesawang ini. Sifat sabar dan tidak mudah berputus asa adalah kunci saya untuk menyiapkan laman sesawang ini dan saya berharap para pembaca berpuas hati dengan kandungan-kandungan yang telah saya muat naik dalam laman ini. 

            Secara keseluruhannya, tugasan amali dari minggu pertama hingga minggu akhir merupakan tugasan yang banyak memberikan manfaat kepada saya. Selain itu, pelaksanaan tugasan tersebut juga membantu saya untuk meningkatkan kemahiran dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Seperti yang kita sedia maklum teknologi komputer sangat membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran terutamanya dalam mata pelajaran bahasa Melayu. Oleh itu, wajarlah kursus BMM2064 diajar kepada guru-guru pelatih opsyen bahasa Melayu di Institut Pendidikan Guru seluruh Malaysia. Saya percaya dan yakin bahawa ilmu mengenai pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu berbantukan komputer ini akan membantu guru-guru supaya dapat melaksanakan satu pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang berkesan dan menarik kepada murid-murid dalam keadaan dunia global yang serba canggih dari segi Teknologi Maklumat dan Komunikasi ini. Sesungguhnya, inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh guru-guru untuk membawa generasi  muda ini ke arah merealisasikan matlamat negara iaitu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020.