Perkembangan semasa pendidikan negara menggambarkan peningkatan dan perubahan dalam aspek pembelajaran dan pengajaran guru yang perlu diperbaiki dan dimurnikan daripada semasa ke semasa. Sehubungan itu, penggunaan Bahan Bantu Mengajar ( BBM ) berasaskan TMK dalam pembelajaran dan pengajaran khususnya dalam Pengajaran dan Pembelajaran ( PdP) Bahasa Melayu dilihat amat efektif dan sesuai untuk dilaksanakan di sekolah.

            Penggunaan TMK perlu dilihat secara optimis dan dilaksanakan secara proaktif oleh guru untuk meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran dan kefahaman pelajar dalam pembelajaran. Situasi ini membawa perubahan kepada pengubahsuaian fungsi dan peranan guru. Peranan guru sebagai sumber utama pengetahuan kepada pelajar telah bertukar kepada guru sebagai pemudah cara dalam pembelajaran dan pengajaran, agen perubahan dan sumber maklumat kepada pelajar. Guru harus kreatif dan inovatif untuk menjadikan sistem teknologi pengajaran menjadi lebih kreatif dan menyeronokkan dengan penggunaannya akan menambah kualiti penyampaian guru.

            Namun demikian, ketaksuban dan keterlaluan bergantung kepada penggunaan Teknologi Multimedia dan Komunikasi ( TMK )  seperti komputer, intemet, laman web, e-mel dan lain-lain boleh memberikan impak yang besar kepada proses PdP guru itu sendiri. Dalam hal ini, pendidikan Bahasa Melayu juga tidak terkecuali menghadapi masalah dalam pelaksanaan TMK dalam pengajaran Bahasa Melayu. Guru dan pelajar akan mengalami masalah dan cabaran yang amat besar jika kedua-duanya terlalu bergantung kepada TMK untuk memperoleh dan menguasai ilmu pengetahuan